3 September 2025, Rabu – Program Outreach Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kota Bharu yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Meranti hari ini menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Program yang bermula dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang itu menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk semakan penyata, pengaktifan i-Akaun, pendaftaran i-Saraan, pendaftaran dan semakan i-Suri, caruman sukarela, pendaftaran Shariah, penamaan, semakan khairat kematian, serta kemudahan i-Sayang, i-Invest dan Voluntary Excess.
Penduduk yang hadir dilihat berbaris dan mendapatkan khidmat nasihat secara terus daripada pegawai KWSP. Suasana di dalam NADI Kampung Meranti begitu meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan belia, ibu bapa dan warga emas. Penganjuran ini adalah sebahagian daripada usaha KWSP untuk mendekati komuniti setempat melalui perkhidmatan mudah alih “Mobile KWSP”, sekali gus memudahkan urusan pencarum tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP di bandar.
 
								 
															 
															

