15 Ogos 2025, Jumaat – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Meranti telah menganjurkan sesi saringan e-Sukan bagi permainan popular Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) pada hari Jumaat, 15 Ogos 2025. Program ini berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan penyertaan seramai 23 orang peserta.
Penganjuran saringan ini bertujuan memberi ruang kepada belia setempat untuk menonjolkan bakat dalam bidang e-Sukan, selain menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti sihat dan berdaya saing. Program ini juga selaras dengan usaha memperkukuh peranan NADI sebagai pusat pembangunan komuniti digital dan teknologi di kawasan Pasir Mas.
Menurut pihak penganjur, sambutan daripada belia kampung amat memberangsangkan dan menjadi bukti bahawa e-Sukan kini semakin mendapat tempat sebagai salah satu medium pembangunan potensi generasi muda.
Saringan MLBB ini turut diadakan sebagai persediaan awal untuk memilih pasukan yang berpotensi mewakili NADI Kampung Meranti dalam kejohanan yang lebih besar pada masa akan datang.

