Isnin, 26 Jan 2026 – Program Kempen Internet Selamat (KIS) telah dilaksanakan dengan jayanya di SMK Sultan Ibrahim (2) bersama PIBG PPKI anjuran Persatuan Kesihatan Reproduktif Kelantan (ReHAK) , khusus untuk pelajar Pendidikan Khas Integrasi, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan digital dan risiko salah guna teknologi dalam kalangan pelajar serta ibu bapa.
Program ini menumpukan kepada cabaran dunia digital yang boleh memberi kesan kepada isu sosial dan kesihatan reproduktif remaja, selaras dengan pelaksanaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) khusus bagi pelajar Pendidikan Khas Integrasi. Inisiatif ini merupakan usaha berterusan ReHAK dalam membimbing ibu bapa memahami trend masalah sosial yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas turut memberikan input berkaitan silibus PEERS bagi Pendidikan Khas Integrasi, membantu ibu bapa memahami kandungan pendidikan yang diterapkan di sekolah. Sementara itu, ReHAK menyampaikan taklimat berasaskan statistik dan perkembangan semasa isu sosial berkaitan PEERS, khususnya bagi pelajar Pendidikan Khas Integrasi, yang menunjukkan trend peningkatan membimbangkan.
Dalam program ini, NADI telah mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyampaikan taklimat khas kepada ibu bapa mengenai keselamatan digital dan risiko salah guna teknologi, menekankan peranan mereka dalam memantau, membimbing, dan mengawal aktiviti digital anak-anak, agar pelajar Pendidikan Khas Integrasi dapat menggunakan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.
Pendekatan bersepadu ini menekankan kepentingan kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa, dan agensi berkaitan dalam membentuk generasi celik digital, bertanggungjawab, dan sihat, termasuk golongan pelajar Pendidikan Khas Integrasi.


