19 November 2025, Rabu – Program Outreach Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kota Bharu yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Meranti hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang itu menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya semakan penyata, pengaktifan dan pendaftaran i-Akaun, i-Saraan dan i-Suri, caruman sukarela, pendaftaran Shariah, penamaan, semakan khairat kematian serta kemudahan i-Sayang, i-Invest dan Voluntary Excess.
Kehadiran pegawai KWSP melalui perkhidmatan Mobile KWSP membolehkan penduduk mendapatkan khidmat nasihat secara terus tanpa perlu ke pejabat KWSP di bandar. Suasana di NADI Kampung Meranti turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia, ibu bapa dan warga emas.
NADI Kampung Meranti merakamkan penghargaan atas kerjasama ini kerana penganjurannya memberi manfaat besar kepada komuniti setempat, khususnya dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perancangan dan simpanan hari tua.


