10 November 2025, Isnin – Program Kempen Internet Selamat anjuran MCMC Pejabat Negeri Kelantan (KSO) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas telah berjaya dilaksanakan di Dewan Budiman, Kolej Vokasional Pasir Mas.
Program ini memberi fokus kepada pendedahan mengenai kepentingan penggunaan internet secara berhemah, risiko penipuan dalam talian, buli siber serta langkah-langkah melindungi maklumat peribadi. Peserta turut didedahkan dengan cara mengenal pasti kandungan palsu, bahaya berkongsi maklumat sensitif dan kepentingan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di ruang digital.
Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama petugas NADI Kluster Pasir Mas yang terdiri daripada NADI Padang Tok La, NADI Bukit Tandak, NADI Tendong, NADI Semuba, NADI Kampung Meranti dan NADI Kampung Repek. Petugas-petugas NADI ini telah berperanan sebagai fasilitator Kempen Internet Selamat, mengendalikan aktiviti pemeriksaan kesihatan asas serta membantu urusan pendaftaran MyDigital ID. Penglibatan mereka telah melancarkan perjalanan program dan menambah nilai dari aspek kesedaran digital serta kesejahteraan komuniti.
Selain slot taklimat dan perkongsian, aktiviti pemeriksaan kesihatan asas telah dijalankan kepada para peserta sebagai inisiatif menyokong gaya hidup sihat. Pendaftaran MyDigital ID pula diadakan bagi menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan identiti digital sebagai langkah ke arah perkhidmatan dalam talian yang lebih selamat dan teratur.


