4 JULAI 2026 – NADI Kampung Meranti bersama NADI Kampung Repek, NADI Bukit Tandak dan NADI Kampung Semuba telah dijemput menyertai Karnival Ilmu Komuniti @ Perpustakaan Desa Tok Uban yang berlangsung meriah di perkarangan Perpustakaan Desa To’ Uban. Program ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti berteraskan ilmu, kesihatan dan kemasyarakatan. Sepanjang karnival berlangsung, pihak NADI turut membuka reruai bagi mempromosikan perkhidmatan dan program yang ditawarkan kepada masyarakat.
Program dimulakan dengan Larian Ilmu & Sihat sejauh 5 kilometer, diikuti pelbagai pengisian menarik seperti pertandingan Warna-warni Kreativiti Cilik, Reka Penanda Buku, demonstrasi Aroma Desa, persembahan bercerita, dikir barat, pameran agensi serta cabutan bertuah.
Karnival ini bertujuan memupuk budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat di samping mengeratkan hubungan antara agensi dan komuniti setempat. Program tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat, sekali gus membuktikan komitmen semua pihak dalam melahirkan masyarakat yang berilmu, berdaya saing dan sentiasa menyokong usaha pembangunan komuniti.


