14 Ogos 2026 – Petugas NADI Kampung Meranti telah menghadiri Program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Pasir Mas di NADI Tendong pada 14 Ogos 2026.
Program telah dimulakan dengan taklimat daripada JAPEN yang merangkumi pengucapan awam serta perkongsian berkaitan isu semasa. Antara perkara yang dibincangkan ialah krisis bekalan global, peningkatan tarif TNB, penipuan yang menyamar sebagai pihak TNB, penggunaan elektrik pada waktu kemuncak serta maklumat berkaitan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (SARA). Taklimat ini memberi pendedahan kepada peserta tentang isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan komuniti.
Selain itu, Petugas NADI Tendong turut berkongsi ilmu berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai teknologi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian dan penghasilan kandungan digital. Peserta diperkenalkan kepada asas AI serta kaedah menggunakannya bagi menghasilkan bahan kreatif seperti poster dan video. Perkongsian ini membantu meningkatkan kefahaman peserta terhadap potensi AI dalam menghasilkan kandungan yang lebih menarik, kreatif dan berkesan.
Program turut diteruskan dengan pengenalan Asas Storytelling Visual yang memberi fokus kepada penghasilan kandungan untuk platform media sosial seperti TikTok. Peserta didedahkan kepada asas penyampaian cerita secara visual serta penggunaan aplikasi Canva dalam menghasilkan bahan sebaran maklumat. Secara keseluruhannya, perkongsian ini dapat meningkatkan kemahiran digital komuniti, khususnya dalam menghasilkan kandungan kreatif dan menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan.

