16 Mei 2026 – Program Taklimat JAPEN @ NADI Tendong telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan aktif daripada komuniti setempat yang hadir bagi mendapatkan penerangan berkaitan isu semasa negara dan antarabangsa. Taklimat yang disampaikan oleh pegawai daripada Jabatan Penerangan Malaysia memberi fokus kepada krisis pergolakan di Timur Tengah yang memberi kesan secara langsung terhadap isu minyak dunia, kenaikan harga barang mentah serta tempoh bekalan di pasaran. Para peserta turut diberikan penerangan mengenai isu berbangkit seperti pengurangan kuota bulanan minyak dan kesan kenaikan harga barang terhadap kos sara hidup masyarakat. Sesi ini membantu peserta memahami situasi semasa dengan lebih jelas serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan kewangan dan penggunaan sumber secara berhemah dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Selain itu, program turut diselitkan dengan Kempen Internet Selamat melalui Modul Ringkas Dewasa yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab. Antara pengisian yang dikongsikan termasuk langkah melindungi maklumat peribadi, mengenal pasti penipuan dalam talian serta cara menggunakan media sosial dengan lebih bijak. Program ini bukan sahaja menjadi medium penyampaian maklumat semasa, malah berjaya memperkukuhkan hubungan antara komuniti dan agensi kerajaan dalam usaha melahirkan masyarakat yang lebih peka, berinformasi dan celik digital.


