15 Ogos 2026, Sabtu – Kempen Internet Selamat telah berjaya dianjurkan di NADI Kampung Meranti dalam Program Akademi Asas Penerangan Dan Program Taklimat Isu Semasa Bersama Komuniti Peringkat Dun Meranti, Pasir Mas, Kelantan. Program ini melibatkan seramai 30 orang peserta bersama empat orang Pegawai Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Pasir Mas. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti berkaitan penggunaan internet secara selamat.
Program ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai tiga aspek utama keselamatan digital, iaitu ucapan kebencian, maklumat palsu dan penipuan dalam talian. Peserta didedahkan kepada kesan ucapan kebencian serta kepentingan berkomunikasi secara berhemah di media sosial. Selain itu, peserta diajar mengenal pasti maklumat palsu dengan menyemak sumber dan kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi. Peserta turut diberikan pengetahuan mengenai taktik penipuan dalam talian serta tanda-tanda yang perlu diberi perhatian. Melalui program ini, peserta dapat meningkatkan kesedaran, kemahiran menilai maklumat dan mengambil tindakan yang tepat bagi melindungi diri ketika menggunakan internet.
Program ini memberi pendedahan kepada peserta melalui taklimat pengucapan awam dari Pegawai JAPEN serta perkongsian berkaitan isu semasa, termasuk krisis bekalan global, scam pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), peningkatan tarif TNB, scam TNB, penggunaan elektrik pada waktu kemuncak dan bantuan SARA.
Selain itu, sesi Taklimat Mobile Journalism (MoJo) dan Kandungan Digital turut dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran peserta dalam penghasilan kandungan digital. Peserta diperkenalkan kepada asas Kecerdasan Buatan (AI) serta pemanfaatannya dalam menghasilkan bahan kreatif seperti poster dan video. Perkongsian ini membantu peserta memahami penggunaan teknologi AI secara praktikal bagi menghasilkan kandungan yang lebih menarik dan berkesan.

