26 Ogos 2025, Selasa – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama NADI Kluster Pasir Mas telah berjaya menganjurkan Kempen Internet Selamat (KIS) di SMK Meranti, Pasir Mas, Kelantan sebagai salah satu inisiatif memperkukuh literasi digital dalam kalangan pelajar. Program ini dilaksanakan selaras dengan agenda nasional bagi memastikan generasi muda memiliki kompetensi digital yang selamat, bertanggungjawab, dan beretika.
 Objektif utama kempen adalah;
- Meningkatkan literasi digital pelajar dalam menggunakan internet dengan lebih selamat
- Membentuk amalan penggunaan internet yang beretika dan bertanggungjawab.
- Menyemai kesedaran tentang ancaman siber seperti pendedahan maklumat peribadi, penipuan, dan pengantunan siber.
- Mengasah kemahiran mengesan maklumat sahih berbanding palsu.
Program ini dilaksanakan bersama 2 fasilitator berpandukan modul rasmi KIS yang mengandungi empat segmen utama:
- Penetapan Minda: Aktiviti Pecah Ruyung
- Pelajaran 1: Fakta Atau Auta
- Pelajaran 2: Detektif Jejak Digital.
- Pelajaran 3: Red Flag
Program ini sangat memberi penekanan terhadap pemantapan kesedaran mengenai bahaya mendedahkan maklumat peribadi tanpa kawalan. Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan pemahaman mendalam tentang konsep jejak digital serta kesannya dalam jangka panjang terhadap reputasi dan keselamatan diri. Tidak kurang pentingnya, KIS membantu pelajar mengenal pasti indikator awal pengantunan siber (online grooming) agar mereka mampu membina daya tahan kendiri terhadap ancaman yang wujud di alam maya. Melalui pelaksanaan aktiviti ini, murid telah menunjukkan kefahaman yang lebih baik terhadap penggunaan Internet secara selamat serta lebih peka terhadap risiko dunia maya. Secara keseluruhannya, kempen ini telah menjadi wahana yang berkesan dalam mengarus perdanakan literasi keselamatan digital. Ia bukan sahaja menanam kesedaran siber dalam kalangan pelajar, bahkan memperkukuh literasi kritis, pemikiran analitis dan etika digital yang amat diperlukan untuk mendepani cabaran dunia maya yang semakin kompleks.
 
								 
															 
															

