PUSAT SEBARAN MAKLUMAT NASIONAL (NADI)

Dikendalikan oleh

maxis

Kempen Internet Selamat (KIS) di SK Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan

27 Ogos 2025, Rabu – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama NADI Kluster Pasir Mas telah berjaya melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) di SK Gelang Mas. Program ini merupakan salah satu inisiatif bersepadu yang menekankan kepentingan pembangunan literasi digital secara berperingkat, khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah.  Pelaksanaannya sejajar dengan usaha membina masyarakat bermaklumat yang celik teknologi, beretika serta berdaya tahan terhadap cabaran dunia siber.
Kempen ini digerakkan dengan beberapa objektif utama:
  • Meningkatkan tahap literasi digital asas agar murid mampu menggunakan teknologi dengan bijak dan berhemah.
  • Menjelaskan rasional had umur minimum 13 tahun bagi penggunaan media sosial, berdasarkan faktor perkembangan psikososial serta risiko keselamatan siber.
  • Mengukuhkan kesedaran mengenai ancaman siber, termasuk buli siber, penipuan digital dan pencerobohan privasi.
  • Menggalakkan penerokaan alternatif bermanfaat sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan terhadap ketagihan gajet dan pendedahan berlebihan kepada dunia digital.

 

Program ini dilaksanakan bersama 2 fasilitator berpandukan modul rasmi KIS yang mengandungi lima segmen utama:

  • Penetapan Minda: Aktiviti Pecah Ruyung sebagai pengenalan konsep kolaboratif.
  • Pelajaran 1: Literasi Digital (pengenalan konsep asas penggunaan Internet).Pelajaran 2: Had Umur Penggunaan Media Sosial (rasional 13 tahun ke atas).
  • Pelajaran 3 & 4: Bahaya Media Sosial (pendedahan kepada ancaman dan kesan jangka panjang).
  • Pelajaran 5: Alternatif Kepada Media Sosial (pembentukan gaya hidup seimbang).

 

Pelaksanaan KIS di SK Gelang Mas telah membuktikan keberkesanan pendekatan berstruktur dan interaktif dalam meningkatkan kesedaran keselamatan digital. Murid bukan sahaja memahami konsep asas literasi digital, malah berupaya mengenal pasti ancaman siber serta menilai kesannya terhadap keselamatan diri dan masyarakat. Kesedaran tentang kepentingan mematuhi syarat umur minimum media sosial turut dipertingkat, di samping galakan kepada aktiviti alternatif yang lebih sihat dan seimbang. Secara keseluruhan, program ini menegaskan bahawa pendidikan keselamatan digital sejak peringkat sekolah rendah merupakan asas penting bagi melahirkan generasi celik teknologi, beretika dan bertanggungjawab dalam menguruskan penggunaan internet.

Berita Berkaitan