PUSAT SEBARAN MAKLUMAT NASIONAL (NADI)

Dikendalikan oleh

maxis

Program Kempen Internet Selamat & Pengenalan Perkhidmatan NADI Pintar Di SK Bakong

Pada 20 Mei 2025 – Kempen Internet Selamat (KIS) dan Promosi Perkhidmatan NADI Pintar di SK Bakong, Pasir Mas, Kelantan anjuran NADI Kluster Pasir Mas yang melibatkan NADI Kampung Meranti, Semuba dan Repek telah berjaya dilaksanakan dengan objektif meningkatkan kesedaran keselamatan digital dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya berkaitan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab.

Program dimulakan dengan pengenalan oleh En. Rafiudin, Penolong Pengurus NADI Kampung Semuba yang memperkenalkan fungsi dan peranan NADI (Pusat Sebaran Maklumat Nasional) sebagai inisiatif kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan mendidik masyarakat berkaitan isu-isu semasa termasuk keselamatan siber. Beliau menegaskan bahawa NADI berperanan sebagai platform pendidikan dan penyebaran maklumat digital yang beretika, dan program seperti KIS adalah antara pendekatan penting untuk mendidik generasi muda.

Sesi taklimat utama telah disampaikan oleh Cik Aina, Penolong Pengurus NADI Kampung Repek yang membentangkan modul bertajuk Had Umur Media Sosial Kanak-Kanak. Beliau menekankan sebab had umur 13 tahun ditetapkan untuk kebanyakan platform media sosial, serta bahaya dan kesan negatif terhadap perkembangan mental dan emosi kanak-kanak. Beliau turut mencadangkan aktiviti alternatif seperti sukan, seni, dan aktiviti kekeluargaan sebagai ganti yang lebih sihat kepada penggunaan media sosial.

Dalam masa yang sama, Puan Norbaya, Pengurus NADI Kampung Repek dan En. Azmi, Penolong Pengurus NADI Meranti turut menjalankan saringan kesihatan kepada para guru, sebagai langkah sokongan terhadap kesejahteraan komuniti sekolah dan penjagaan kesihatan warga pendidik.

Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada murid, guru, dan ibu bapa yang hadir. Kempen Internet Selamat ini dijangka akan diteruskan di sekolah-sekolah lain dalam usaha berterusan membina literasi digital dan kesedaran sivik siber sejak peringkat sekolah rendah.

Berita Berkaitan